Friday, July 24, 2009

Mengapa wabak selesema babi (H1N1) menular di UiTM?

Cubit-cubit Si Keldai
24 Julai 2009


Sehingga semalam, empat kampus UiTM telah ditutup kerana serangan wabak selesema babi
( H1N1 ). Kampus-kampus itu ialah Lendu, Melaka; Permatang Pauh, P. Pinang; Seri Iskandar, Perak dan Dungun, Terengganu.
Terkini, semua UiTM termasuk kampus induk di Shah Alam diisytiharkan bercuti pertengahan semester mulai 26/27 Julai hingga 2 Ogos 2009. Cuti itu dipercepatkan kerana wabak HiN1 semakin menular di kampus-kampus UiTM.

Pengisytiharan cuti dimuatkan dalam portal pelajar UiTM http://istudent.uitm.edu.my/stp/Documents/vice_chancellor_announcement-julai_2009.pdf)

Menimbulkan persoalan, kenapa wabak ini menular di kampus-kampus UiTM sahaja. Adakan kerana warga UiTM tidak peka terhadap kebersihan? Atau ada orang campak kuman H1N1 ke dalam kampus UiTM? Atau kuman-kuman ini benci kaum tertentu?


Persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Naib Canselor UiTm , Tan Sri Dato' Ser i Prof. Dr. Ibrahim bin Abu Shah dengan sepantas yang mungkin. Jika beliau belum ada jawapan, sila kerah tenaga akademik UiTM yang begitu ramai dan tersohor `hebat’ untuk mencari jawapan. Silakan dengan segala hormat nya Tan Sri!

Si Keldai

Friday, March 13, 2009

RPK dihentam rakan-rakan pemblog

CUBIT-CUBIT
13 Mei 2009

SEORANG pembaca telah memanggil perhatian Si Keldai kepada beberapa tulisan blog yang mempertikai kewibawaan RPK (Raja Petra Kamaruddin).

Mengetuai tulisan mengkritik RPK ialah Ahiruddin Atan atau Rocky, pengasas Bloggers United yang sekarang jadi CEO akhbar Malay Mail dan Presiden Press Club. Komennya berjudul RPK my enemy?
Pemblog Big Dog menulis pada 11 Mei 09 dengan tajuk Raja Petra that I know: A friend and cyber anarchist
Dua hari kemudian Big Dog menghentam RPK sekali lagi dalam tulisannya berjudul Raja Petra the compulsive liar
Blog My Anger, It May be Yours Too mengandaikan RPK sudah mengalah dengan tulisannya bertajuk Is RPK offering a surrender?

Adat dan resam kehidupan ...jika anda selalu menghentam orang lain, bersedialah untuk kena hentam pula.

RPK sekarang sedang bersembunyi entah di mana. Ada yang mengatakan dia berada di luar negara. Dari tempat persembunyian dia terus melontarkan pelbagai tuduhan yang mengocak ketenteraman politik negara. Benar kata Big Dog bahawa RPK adalah anarkis siber (cyber anarchist) atau seorang penulis siber yang tidak memperdulikan undang-undang.

Bayangkan betapa besarnya ego seorang anarkis.

SI KELDAI

Sunday, January 4, 2009

Kokok berderai-derai, tahi berjurai-jurai

CUBIT-CUBIT
4 Januari 2009

KESIAN Mat (Mohamad) Sabu. Tuan Guru Nik Aziz cadangkan dia jadi calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu, tapi Tuan Guru Haji Hadi setelah bersolat istikarah dapat ilham Abdul Wahid Endut lebih layak. Malah pada firasat Si Keldai, nama Mat Sabu berada paling bawah selepas Syed Azman dan Mustafa Ali yang turut diketepikan.

Barangkali kerana kesian kepada Mat Sabu, beliau awal-awal lagi telah diberikan peluang untuk bercakap di pentas Pas walaupun kempen belum bermula secara rasmi. Maka berkokoklah `ayam sabung' Pas ini di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Pada Mac lalu, Mat Sabu adalah calon Pas melawan Allahyarham Razali Ismail di Kuala Terengganu tapi kalah dengan majoriti 628 undi. Turut berentap ialah calon bebas yang tersohor,Tok Mun yang dapat 685 undi. Kalaulah Tok Mun tak bertanding, siapalah yang dapat 685 undi itu. Razali atau Mat Sabu? Atau bagi sama rata dan Mat Sabu tetap kalah.

Mat Sabu orang Kedah. Fasal apa dia tidak mendapat tempat di Kedah. Ada pepatah Melayu berbunyi `berkokok berderai-derai, tahi berjurai-jurai.' Adakah kerana Pas Kedah menganggap Mat Sabu suka `berkokok berderai-derai, tapi tahi berjurai-jurai?'

Mat Sabu pernah jadi Ahli Parlimen di Kelantan. Selepas tewas pada 2004, dia tidak lagi diberikan peluang untuk bertanding di negeri itu. Ialah, orang Kelantan pun nak bertanding juga. Sebab itulah dia diletakkan di Terengganu pada Mac 2008.

Tapi sebenarnya Mat Sabu tidak kisah sangat fasal jadi calon. Dapat pun boleh, tak dapat pun tak mengapa.

Yang paling penting Mat Sabu dapat berkokok. Kalau tak dapat berkokok, Mat Sabu pasti marah. Dia akan menaji semua orang. Haji Hadi faham sangat perangai Mat Sabu ini. Sebab itulah dia awal-awal lagi diberi peluang untuk berkokok di Kuala Terengganu. Sebelum hari penamaan calon 6 Januari, Mat Sabu sudah diberi peluang berkokok.

Selepas 6 Januari ini, tengoklah Mat Sabu akan ke hulu ke hilir untuk berkokok. Banyak orang suka dengar Mat Sabu berkokok. Sebabnya kokokannya sangat menghiburkan. Kalau tuan-tuan susah hati, pergilah dengan ceramah Mat Sabu. Akah hilanglah duka-lara seketika. Tapi tanggunglah sendiri dosa jika tuan-tuan mempercayai cakapnya

Fasal memperlekeh dan mencaci orang lain, tiada siapa boleh lawan Mat Sabu. Yang menghairankan, kerja mencerca dan mencaci ini bertentangan dengan ajaran al-Quran. Tapi Mat Sabu adalah penceramah Pas yang paling popular. Dengan modal pandai berkokok dia dapat jadi Naib Presiden Pas. Nik Aziz pun sangat sukakannya. Inilah yang Si Keldai tidak faham. Pelik bin Ajaib bin Bingung.

Di Kuala Terengganu, Pas sudah hantar Mat Sabu awal-awal lagi untuk berkokok. Barangkali ramai orang di Kuala Terengganu yang berduka-lara. Mereka perlu dihiburkan. Nak hantar artis menyanyi macam Jom Heboh TV3 tak boleh. Itu semua haram bagi Pas.

Maka dihantarlah Mat Sabu untuk menghibur mereka yang berduka-lara. Semua orang suka dan ketawa. Mat Sabu cukup suka tengok orang ketawa. Tak dapat jadi calon pun tak apa. Kokok berderai-derai, tahi berjurai-jurai.

SI KELDAI

Cakap Wan Muttalib kepada TV3 tidak betul

CUBIT-CUBIT
2 Januari 2009
BULETIN Utama TV3 malam ini melaporkan Wan Muttalib Wan Embong, Ketua Operasi Pilihan Raya Kecil KT Pas memberi jaminan bahawa parti itu tidak akan menyerang peribadi calon BN, Wan Ahmad Farid.
Bagi Si Keldai, jika benar Wan Muttalib berkata demikian, beliau tidak bercakap betul.

Lupakah beliau yang Haji Hadi Awang semasa berucap mengumumkan nama calon Pas di Stadium Negeri, Kuala Terengganu malam tadi antara lain berkata ``calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempuan dan tidak rasuah.''

Ramai yang ketawa mendengar cakap Tuan Guru. Mereka faham maksud `ulama besar' Pas itu kerana mereka telah membaca cerita blog (blog puak Pas?) yang disiarkan bersama gambar( lihat gambar dibawah) Wan Farid sedang menyanyi karaoke. Dalam gambar itu kelihatan seorang wanita di sebelah Wan Farid.

Kenapa Haji Hadi membangkitkan soal `calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempuan' sedangkan Wan Farid telah menjelaskan dalam media bahawa gambar yang disiarkan dalam blog nakal itu dirakamkan dalam majlis keluarga dan wanita tersebut adalah anak saudara perempuannya. Apa salahnya menyanyi karaoke dalam majlis keluarga dan duduk sebelah anak saudara?

Sahabat karib politik Haji Hadi yang bernama `Syeikh' Anwar Ibrahim juga pernah menyanyi karaoke dalam satu majlis (bukan majlis keluarga) dan menari dengan seorang wanita Cina dalam satu majlis (juga bukan majlis keluarga).

Kalau perbuatan Wan Farid salah, tentulah `Syeikh' Anwar 10 kali salah. Tapi kenapa Haji Hadi dan Pas menyokong kuat `Syeikh' Anwar untuk jadi Perdana Menteri?

Wan Muttalib pula satu hal. Apa fasal bercakap temberang dengan TV3? Adakah beliau tidak faham apa yang Haji Hadi maksudkan dengan `calon Pas tidak menyanyi karaoke dengan perempaun.'

Wang Muttalib duduk dekat di belakang Haji Hadi semasa Presiden Pas itu berucap. Barangkali beliau terlena ketika itu. Maklumlah jadi Ketua Operasi Pilihan Raya Kecil KT banyak kerja. Terpaksa bersengkang mata setiap malam. Kalau beliau tidak mendengar ucapan bosnya, maka beliau tidak menjalankan tugas dengan betul.

Apa yang Haji Hadi cakapkan malam tadi adalah `amanat.' Itulah juga yang diumumkan oleh pengerusi majlis. Amanat...amanat...amanat untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Jika Haji Hadi sudah siang-siang lagi menyerang peribadi calon lawan, maknanya Wan Muttalib tidak bercakap benar. Pemimpin sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, tidak bercakap benar. Apa hukum orang yang tidak bercakap benar?

SI KELDAI

Thursday, January 1, 2009

Hantu tidak akan mengundi di Kuala Terengganu

CUBIT-CUBIT
1 Januari 2009

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Said cukup bengang mengenai isu `pengundi hantu' yang sering dibangkitkan oleh pembangkang.

Seolah-olah menduga isu basi itu akan terus dihidangkan oleh Pas dalam kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan bermula pada hari penamaan calon 6 Januari ini, beliau membangkitkan perkara tersebut dalam ucapan perasmian Pusat Media Pilihan Raya Kecil Terengganu hari ini. Kemudian perkara itu disusuli pada sidang akhbar selepas perasmian apabila menjawab pertanyaan wartawan.

Katanya, jika pengundi hantu benar-benar wujud dan digunakan oleh BN, kenapa BN boleh kalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, selain banyak kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan yang pembangkang menangi.

Apa yang berlaku, katanya, pembangkang yang menggunakan isu tersebut untuk menyekat para pengundi BN yang berada di luar kawasan daripada kembali untuk mengundi di tempat asal di mana mereka didaftarkan sebagai pengundi.

``Pas yang menyekat bas-bas dan menahan pengundi, BN tidak pernah menyekat bas,'' katanya.

Menurut Ahmad Said, Pas juga mempunyai pengundi-pengundi yang berada jauh di luar kawasan.

Katanya, di kawasan Rusila kajian pihak BN mendapati ada kira-kira 800 orang luar yang berdaftar sebagai pengundi di situ.

Beliau meminta media tidak melayan lagi dakwaan pembangkang tentang wujudnya pengundi hantu.

Si Keldai amat bersetuju. Jika dilayan, perkara ini tidak akan habis sampai bila-bila pun. Malu kita Malaysia. Orang akan ketawakan demokrasi kita, pada hal sudah 12 kali kita mengadakan pilihan raya umum.

Kalau kalah janganlah disalahkan tanah tinggi atau rendah. Di Terengganu pun Pas pernah menang pada pilihan raya umum 1999. Jika BN berupaya menggunakan banyak hantu untuk mengundi, tentulah Pas tidak boleh menang.

Jadi, dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, usahlah lagi kita bercerita fasal hantu. Biarlah manusia mengundi dengan tenteram dan aman. Janganlah ditahan bas-bas yang masuk ke Kuala Terengganu. Lagi banyak bas masuk, lagi baik. Mereka akan beli kerepok, nasi dagang, nasi minyak, kain songket, dan bermacam lagi produk orang Terengganu. Yang untung adalah rakyat Terengganu, termasuk para penyokong Pas.

Kalau pun ada hantu yang terlepas ke kawasan mengundi, barangkali hanya dua tiga puluh ekor sahaja. Tak apalah kerana hantu ada di mana-mana. Dan ustaz hantu pun ada.

SI KELDAI

Tuesday, December 30, 2008

Anwar digugat Makhal Sakti

CUBIT-CUBIT
30 Disember 2008

BAYANGKAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa sokongan kaum India. Melampau sangatlah untuk mengatakan parti Anwar Ibrahim ini akan rebah dan pengsan. Tapi, kalau tidak rebah, patah sebelah kaki sudah pasti.

Sokongan kaum India kepada PKR amat kita ketahui. Anwar adalah penyokong kuat Hindraf yang diharamkan. Semasa Hindraf berdemo di Kuala Lumpur dulu, Anwar mengunjungi mereka untuk menzahirkan sokongannya.

Penyokong-penyokong Hindraf melaungkan slogan Makhal Sakti atau Suara Rakyat. Anwar juga bertempik ``Makhal Sakti'' setiap kali bertemu kumpulan kaum India terutama menjelang dan semasa kempen PRU 2008 Mac lalu. Malah kelihatan perjuangan Anwar untuk kaum India lebih kuat daripada Samy Vellu yang tidak menyokong Hindraf.

Sebab itulah MIC kalah teruk dalam PRU 2008 dan PKR tidak disangka-sangka menang di banyak tempat. Empat daripada 31 Ahli Parlimen PKR adalah kaum India, di samping ramai yang jadi ADUN.

Kini PKR menghadapi krisis kepercayaan kaum India ekoran isu yang melibatkan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang tidak berpuas hati dengan layanan PKR terhadap tuntutan-tuntutan kaum India.

Bagi Si Keldai, kemelut sokongan kaum India yang Anwar dan PKR hadapi sekarang sudah lama diduga. Mana mungkin hendak memenuhi selera dan semua tuntutan orang India. Samy Vellu dan MIC pun tak mampu.

Tapi Anwar tidak fikirkan itu semua semasa memujuk dan memikat hati kaum India dan Hindraf dulu. Baginya yang penting masa itu ialah memperalatkan kerenah mereka bagi mencapai cita-citanya yang tidak kunjung padam untuk jadi PM.

Jadi PM Anwar gagal, tapi PKR dapat bekuasa di Selangor, negeri yang mempunyai paling ramai pengundi kaum India. Itu adalah hasil sokongan kaum India kepada Anwar yang sanggup berjanji `bintang dan bulan' kepada sesiapa sahaja yang sanggup menyokongnya.

Isu yang paling sensitef bagi BN di Selangor melibatkan pembinaan kuil yang tumbuh tanpa kawalan di merata tempat. Apabila ada kuil yang dibina tanpa kebenaran terpaksa dirobohkan, ia menjadi isu berlarutan sehingga menyebabkan kejatuhan Khir Toyo dan BN.

Anwar seolah-olah menjanjikan penyelesaian sekelip mata kepada segala tuntutan kaum India. Sekarang kaum India baru tahu siapa sebenar Anwar.

Anwar adalah orang yang menjanjikan Pakatan Rakyat akan memerintah pada 16 September 2008. Rupa-rupanya itu hanyalah satu temberang, sama seperti temberangnya kepada kaum India yang telah membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan atas semangat Makhal Sakti yang ditiupkan oleh Hindraf.

Sekarang Anwar menghadapi kemungkinan kehilangan Makhal Sakti, yang hampir menguasai PKR dan menghakiskan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Patutlah Anwar semakin membisu kerana ditimpa pelbagai masalah. Isu hudud Pas...kes tuduhan liwat...dan kini kes Manikavasagam. Ayo...yo...kepala Anwar cukup pening sekarang.

SI KELDAI

Sunday, December 28, 2008

Haji Hadi cakap tak serupa bikin

CUBIT-CUBIT
28 Disember 2008

Presiden Pas, Hadi Awang mencadangkan S. Manikavasagam meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kapar sekiranya mahu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Beliau berkata, tindakan Manikavasagam yang menggugat keluar parti itu adalah tidak wajar kerana menipu rakyat yang telah memilihnya atas tiket parti tersebut.

``Selain itu, dia juga tidak mempunyai prinsip dan tidak konsisten,'' katanya sebagaimana laporan Mingguan Malaysia 28 Disember 2008.

Wah...wah...dengar cakapnya macam Haji Hadi ini seorang ahli politik yang sangat berprinsip dan konsisten pendiriannya.

Dulu semasa Anwar Ibrahim heboh akan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September 2008 dengan memancing ahli-ahli Parlimen BN supaya melompat parti, apa fasal Haji Hadi diam sahaja.

Sepatutnya Haji Hadi sebagai orang yang berprinsip dan mengaku dirinya ulama, adalah orang yang pertama mengingatkan Anwar supaya tidak membuat tawaran kepada ahli-ahli Parlimen BN supaya keluar parti.

Tidakkah dengan berdiam diri maknaya Haji Hadi juga bersubahat dengan Anwar dalam menghasut ahli-ahli Parlimen BN supaya ``menipu rakyat yang telah memilih mereka atas tiket parti BN.''

Bila kena batang hidung sendiri atau batang hidung suku-sakat politik, semuanya tidak betul. Kalau menguntungkan parti sendiri atau pakatan suku-sakat, semuanya betul. Ulama apa macam ini?

Pendirian Haji Hadi dan Pas dalam isu hudud juga sama. Dulu bermati-matian menghentam UMNO kerana tidak mahu melaksanakan hukum hudud. Sekarang dia kata belum masanya untuk laksanakan hudud.

Kalau Si Keldai jadi Manikavasagam, elok sajalah bertempik:`` Ayo...yo..ini Haji Hadi apa punya orang. Keldai lagi baik.''
SI KELDAI