Tuesday, December 30, 2008

Anwar digugat Makhal Sakti

CUBIT-CUBIT
30 Disember 2008

BAYANGKAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa sokongan kaum India. Melampau sangatlah untuk mengatakan parti Anwar Ibrahim ini akan rebah dan pengsan. Tapi, kalau tidak rebah, patah sebelah kaki sudah pasti.

Sokongan kaum India kepada PKR amat kita ketahui. Anwar adalah penyokong kuat Hindraf yang diharamkan. Semasa Hindraf berdemo di Kuala Lumpur dulu, Anwar mengunjungi mereka untuk menzahirkan sokongannya.

Penyokong-penyokong Hindraf melaungkan slogan Makhal Sakti atau Suara Rakyat. Anwar juga bertempik ``Makhal Sakti'' setiap kali bertemu kumpulan kaum India terutama menjelang dan semasa kempen PRU 2008 Mac lalu. Malah kelihatan perjuangan Anwar untuk kaum India lebih kuat daripada Samy Vellu yang tidak menyokong Hindraf.

Sebab itulah MIC kalah teruk dalam PRU 2008 dan PKR tidak disangka-sangka menang di banyak tempat. Empat daripada 31 Ahli Parlimen PKR adalah kaum India, di samping ramai yang jadi ADUN.

Kini PKR menghadapi krisis kepercayaan kaum India ekoran isu yang melibatkan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang tidak berpuas hati dengan layanan PKR terhadap tuntutan-tuntutan kaum India.

Bagi Si Keldai, kemelut sokongan kaum India yang Anwar dan PKR hadapi sekarang sudah lama diduga. Mana mungkin hendak memenuhi selera dan semua tuntutan orang India. Samy Vellu dan MIC pun tak mampu.

Tapi Anwar tidak fikirkan itu semua semasa memujuk dan memikat hati kaum India dan Hindraf dulu. Baginya yang penting masa itu ialah memperalatkan kerenah mereka bagi mencapai cita-citanya yang tidak kunjung padam untuk jadi PM.

Jadi PM Anwar gagal, tapi PKR dapat bekuasa di Selangor, negeri yang mempunyai paling ramai pengundi kaum India. Itu adalah hasil sokongan kaum India kepada Anwar yang sanggup berjanji `bintang dan bulan' kepada sesiapa sahaja yang sanggup menyokongnya.

Isu yang paling sensitef bagi BN di Selangor melibatkan pembinaan kuil yang tumbuh tanpa kawalan di merata tempat. Apabila ada kuil yang dibina tanpa kebenaran terpaksa dirobohkan, ia menjadi isu berlarutan sehingga menyebabkan kejatuhan Khir Toyo dan BN.

Anwar seolah-olah menjanjikan penyelesaian sekelip mata kepada segala tuntutan kaum India. Sekarang kaum India baru tahu siapa sebenar Anwar.

Anwar adalah orang yang menjanjikan Pakatan Rakyat akan memerintah pada 16 September 2008. Rupa-rupanya itu hanyalah satu temberang, sama seperti temberangnya kepada kaum India yang telah membuat tuntutan-tuntutan yang bukan-bukan atas semangat Makhal Sakti yang ditiupkan oleh Hindraf.

Sekarang Anwar menghadapi kemungkinan kehilangan Makhal Sakti, yang hampir menguasai PKR dan menghakiskan sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Patutlah Anwar semakin membisu kerana ditimpa pelbagai masalah. Isu hudud Pas...kes tuduhan liwat...dan kini kes Manikavasagam. Ayo...yo...kepala Anwar cukup pening sekarang.

SI KELDAI

Sunday, December 28, 2008

Haji Hadi cakap tak serupa bikin

CUBIT-CUBIT
28 Disember 2008

Presiden Pas, Hadi Awang mencadangkan S. Manikavasagam meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Kapar sekiranya mahu keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Beliau berkata, tindakan Manikavasagam yang menggugat keluar parti itu adalah tidak wajar kerana menipu rakyat yang telah memilihnya atas tiket parti tersebut.

``Selain itu, dia juga tidak mempunyai prinsip dan tidak konsisten,'' katanya sebagaimana laporan Mingguan Malaysia 28 Disember 2008.

Wah...wah...dengar cakapnya macam Haji Hadi ini seorang ahli politik yang sangat berprinsip dan konsisten pendiriannya.

Dulu semasa Anwar Ibrahim heboh akan membentuk kerajaan Pakatan Rakyat pada 16 September 2008 dengan memancing ahli-ahli Parlimen BN supaya melompat parti, apa fasal Haji Hadi diam sahaja.

Sepatutnya Haji Hadi sebagai orang yang berprinsip dan mengaku dirinya ulama, adalah orang yang pertama mengingatkan Anwar supaya tidak membuat tawaran kepada ahli-ahli Parlimen BN supaya keluar parti.

Tidakkah dengan berdiam diri maknaya Haji Hadi juga bersubahat dengan Anwar dalam menghasut ahli-ahli Parlimen BN supaya ``menipu rakyat yang telah memilih mereka atas tiket parti BN.''

Bila kena batang hidung sendiri atau batang hidung suku-sakat politik, semuanya tidak betul. Kalau menguntungkan parti sendiri atau pakatan suku-sakat, semuanya betul. Ulama apa macam ini?

Pendirian Haji Hadi dan Pas dalam isu hudud juga sama. Dulu bermati-matian menghentam UMNO kerana tidak mahu melaksanakan hukum hudud. Sekarang dia kata belum masanya untuk laksanakan hudud.

Kalau Si Keldai jadi Manikavasagam, elok sajalah bertempik:`` Ayo...yo..ini Haji Hadi apa punya orang. Keldai lagi baik.''
SI KELDAI

Wednesday, December 24, 2008

Pas rakan kongsi kelas dua Pakatan Rakyat

CUBIT-CUBIT
24 Disember 2008

DALAM Barisan Nasional (BN), UMNO adalah kepala atau ketua gabungan.

Dalam pakatan pembangkang yang Anwar Ibrahim bahasakan sebagai Pakatan Rakyat (rakyat adalah istilah politik kegemaran Anwar), Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah kepala, DAP adalah penasihat eksekutif (yang cakapnya mestilah didengar dan dilaksanakan), manakala Pas adalah rakan kongsi yang lebih bersifat penumpang.

Tiba-tiba Naib Presiden Pas, Husam Musa dalam satu majlis wacana dengan Khairy Jamaluddin di Kota Bharu menegaskan, jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan pusat, hukum hudud dan qisas akan dilaksanakan. Dia bercakap begitu setelah didesak oleh Khairy supaya menyatakan pendiriannya mengenai perkara tersebut.

Beberapa hari kemudian, Husam dilaporkan menarik balik kata-katanya. Hukum hudud dan qisas hanya boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan PKR dan DAP.

Nyatalah bahawa cakap Husam hanyalah cakap kosong. Sebenarnya, jika ...(ulangi)... jika...takdirnya Pakatan Rakyat memerintah, hukum hudud dan qisas tidak akan dilaksanakan. Sebabnya Lim Kit Siang, anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh telah membantah keras kenyataan Husam. Suara mereka adalah suara mutlak DAP.

Suara mutlak PKR ialah Anwar. Tapi Anwar masih membisu. Walaupun Karpal telah mendesak keras, Anwar belum mengeluarkan komen berhubung kenyataan Husam. Sebabnya sangat jelas. Siapalah Anwar dan PKR tanpa sokongan DAP dan Pas.

Anwar tidak mampu untuk menyinggung perasaan sama ada DAP atau Pas. Kalau memihak kepada DAP, akan menyinggung Pas. Kalau memihak kepada Pas, akan menyinggung DAP. Lebih baik berdiam diri.

Kepada orang-orang Melayu yang merupakan majoriti pengundi di kawasan pilihan raya kecil Kuala Terengganu yang akan berlangsung tidak lama lagi, sedarlah hakikat ini.

Pas boleh bercakap apa sahaja, tapi akhir kata terletak pada Anwar, Kit Siang, Guan Eng dan Karpal. Bukan pada Haji Hadi Awang, Nik Aziz atau Husam.

Di Kuala Terengganu, kalau Pas menang pun pilihan raya kecil 17 Disember, ia tidak akan membawa makna kepada suara Melayu dan Islam. Pas hanyalah rakan kelas dua dalam Pakatan Rakyat sebagaimana yang dibuktikan oleh episod kenyataan hukum hudud Husam.

Sebaliknya jika BN menang, ia menjamin harapan UMNO untuk meneruskan tanggung jawabnya sebagai pemelihara kepentingan Melayu dan Islam dalam kerangka mufakat Barisan Nasional. Berbeda dengan Pas, UMNO adalah kepala dalam Barisan Nasional. Pas hanyalah rakan kongsi kelas kedua.

SI KELDAI

Friday, December 19, 2008

Siapa arah TV3 serang Ahmad Said?

CUBIT-CUBIT
19 Disember 2008

MENTERI Besar Terengganu, Ahmad Said, melenting terhadap TV3 di Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.

Beliau mendakwa TV3 sentiasa berniat jahat terhadapnya termasuk semasa krisis pelantikannya sebagai Menteri Besar dahulu.

"...dan semalam TV3 menyiarkan berita yang menyatakan saya akan menutup
Golden Pharos (anak syarikat kerajaan terengganu). Ini yang buat saya sedih. TV3
buat saya macam itu mungkin dia ada agenda," katanya. ( lihat laporan Bernama )

Dan yang menariknya TV3 dalam Buletin Utama malam tadi turut menyiarkan episod Ahmad Said melenting di sidang DUN Terengganu itu.

Apa tujuan TV3 menyerang Ahmad Said? Berlaku pula ketika UMNO Terengganu sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Barangkali ada kaitan dengan urusan pemilihan calon BN untuk pilihan raya itu. Agaknya Ahmad Said telah melukai perasaan orang-orang tertentu dalam memilih siapa yang layak dan tidak layak menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

Disebabkan orang kuat di Bahagian Hal Ehwal Semasa TV3 adalah bekas Setiausaha Akhbar Pak Lah, maka peristiwa ini boleh menimbulkan tanggapan buruk terhadap Perdana Menteri. Seolah-olah TV3 menyerang Ahmad Said dengan restu Pak Lah. Tidak fasal-fasal Pak Lah yang dapat nama buruk.

Jika ada arahan, Si Keldai percaya bukan datang dari Pak Lah, tapi daripada orang lain. Faham-faham sajalah siapa yang menguasai kumpulan Media Prima yang memiliki TV3, NST dan Berita Harian.
+
Jika benar TV3 mempunyai agenda terhadap Ahmad Said, kenalah bakal Presiden UMNO Najib Tun Razak membetulkan keadaan yang tidak betul ini. Jika tidak dibetulkan, UMNO juga yang menerima padahnya.

SI KELDAI

Thursday, December 18, 2008

Nik Aziz bercakap besar

CUBIT-CUBIT
18 Disember 2008

MAKA berkatalah Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am Pas dan Menteri Besar Kelantan: "Calon memang tak bahas lagi, tapi kita bercakap pada dasar dan kita yakin sangat akan menang, kalau tidak yakin macam mana nak jadi orang Islam kerana Islam memerlukan keyakinan.'' (lihat berita)

Senang cakap, maksud Tuan Guru, kawasan Parlimen Kuala Terengganu adalah dalam tangan Pas. Sesiapa sahaja calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil KT pada 17 Januari 2009 akan kalah.

Dan Tuan Guru pun telah menamakan calon Pas yang beliau rasakan boleh menang nanti, iaitu Mohamad Sabu.

Kalau Pas meletakkan calon lain, ertinya Pas yang tidak yakin Mohamad Sabu boleh menang. Bukan Tuan Guru Nik Aziz.

Kita sama-sama tunggu siapa calon Pas nanti. Adakah Nik Aziz yang yakin atau Pas yang tidak yakin? Kalau Pas pilih calon lain, maknanya Pas tidak yakin dengan apa yang Nik Aziz yakin.

Kalau keyakinan Pas sama dengan keyakinan Nik Aziz, maka calonnya tetaplah Mat Sabu. Kalau bukan, maknanya Pas menganggap Nik Aziz hanyalah bercakap besar.

SI KELDAI

Monday, December 15, 2008

Wan Farid bukan calon pilihan raya kecil KT?

CUBIT-CUBIT
15 Disember 2008

NAMPAK gayanya ditakdirkan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang juga dikenali sebagai Wan F tidak akan menjadi calon UMNO/BN bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009. Walaupun UMNO akan mengumumkan secara rasmi nama calon pada minggu ini, isyaratnya amat jelas apabila tempoh perkhidmatan Wan F sebagai senator disambung sepenggal lagi semalam.

Wan F disebut-sebut sebagai calon favorit atas kedudukannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, tapi ternyata andaian itu meleset dan bermakna gagalnya kempen media yang dialunkan oleh Media Prima, kumpulan media yang berada di bawah cengkaman Khairy Jamaluddin dan `Tingkat 4 JPM.' Misalnya, Ketua Pengarang Kumpulan NST, Hishamuddin Aun menulis dalam Berita Minggu 14 Disember 2008 bahawa BN akan menghadapi pelbagai masalah jika bukan Wan Farid yang dipilih menjadi calon di Kuala Terengganu.

Wan F sebelum menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri (Pak Lah). Apabila Khairy tidak lagi memegang jawatan Pembantu Khas Pak Lah, peranan beliau di Tingkat 4 JPM diserahkan kepada Wan F. Oleh kerana Wan F adalah anak Terengganu, tentulah peranan beliau sebagai tangan Khairy dan Tingkat 4 amat kuat di negeri yang kaya dengan duit minyak itu.

Dalam dunia blog, begitu banyak cerita mengenai duit minyak Terengganu digunakan untuk projek-projek yang dikatakan tidak membawa manfaat secara langsung kepada rakyat biasa. Ahli perniagaan Patrick Lim dikaitkan dengan projek-projek ini.

Maka jika Wan F tidak dipilih menjadi calon, keputusan tersebut mudah dibaca sebagai ada kaitan dengan peralihan kuasa dalam UMNO yang akan menyaksikan Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO dan PM selepas Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009. Ini boleh mendorongkan spekulasi bahawa kem Pak Lah, Khairy dan Tingkat 4 JPM sudah hilang pengaruh lebih awal. Mereka tidak boleh mempengaruhi pemilihan Wan Farid.

Walaupun Berita Minggu dari kumpulan Media Prima menguar-uarkan BN akan menghadapi banyak masalah jika Wan F tidak dipilih, cakap-cakap politik yang Si Keldai dengar membayangkan kemungkinan adalah sebaliknya.

Dikatakan bahawa Wan F akan dikaitkan oleh Pas dengan peristiwa Batu Buruk pada 9 September 2007, di mana polis didakwa menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan perhimpunan politik tanpa permit. Isu itu akan menyukarkan peluang BN jika Wan F yang bertanding.

Pergolakan politik ekoran pertandingan jawatan Ketua Bahagian Kuala Terengganu yang Wan F menangi juga menjadi perhitungan. Dikatakan bahawa beliau masih mempunyai ramai musuh di bahagian itu yang hanya menunggu peluang untuk `cas keting' jika beliau menjadi calon.

Mengambil kira faktor-faktor ini, UMNO dijangka memilih seorang calon yang akan mendapat sokongan semua kalangan UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan tidak mempunyai cacat-cela yang boleh dijadikan modal serangan pembangkang.

SI KELDAI

Wednesday, December 10, 2008

Lagu Oh Bangau di Bukit Antarabangsa

CUBIT-CUBIT
10 Disember 2008

ADA pepatah Melayu berunsur nasihat yang berbunyi `jangan berumah di tepi laut jika takut dilanggar badai.'

Si Keldai ingin menambah satu lagi pepatah yang maksudnya agak sama. Jangan berumah di kawasan bukit jika takut tanah runtuh.

Apabila berlaku lagi kejadian tanah runtuh di Kuala Lumpur, kali ini di Bukit Antarabangsa, maka sekali lagi timbul cerita pemaju dan pihak berkuasa kerajaan akan disaman. Dulu mangsa-mangsa tragedi Highland Towers menuntut gantirugi daripada pihak berkuasa tempatan, tapi tuntutan ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana wang yang dituntut adalah duit rakyat yang dibayar sebagai cukai untuk membiayai pelbagai kemudahan awam. Lagi pun, kata hakim, mereka yang menuntut adalah orang-orang yang kaya belaka.

Adalah munasabah jika pemaju yang disaman. Itu pun jika mereka telah memberikan jaminan tidak akan berlaku tanah runtuh, atau kejadian berlaku kerana kecuaian atau penipuan.

Pembeli atau pembina rumah sendiri di kawasan lereng bukit tentulah sangat menyedari akan bahaya tanah runtuh. Sama juga dengan membina rumah di tepi sungai yang terdedah kepada banjir. Jika mereka sudah mengetahui risikonya, kenapa masih mahu berumah di lereng bukit. Apakah tiada lagi kawasan lain di bumi Malaysia ini yang sesuai untuk kediaman?

Sebab itulah pihak syarikat insurans kediaman tidak akan memperuntukkan ganti rugi bagi kemusnahan akibat bencana semula jadi atau yang diistilah dalam bahasa Inggeris sebagai `act of God.' Jika pemilik kediaman mahukan perlindungan, mereka akan diminta membayar premium yang sangat tinggi. Dan syarikat insurans juga tidak akan menyediakan perlindungan dengan begitu mudah tanpa membuat kajian teliti tentang risiko di sesuatu kawasan.

Cerita menyalahkan pihak itu dan pihak ini adalah sama seperti cerita lagu Oh Bangau.

Jika tiada permintaan, pasti pemaju tidak akan membangunkan projek perumahan di kawasan bukit. Dan rumah-rumah yang dibina di kawasan bukit, biasanya lebih mahal daripada kawasan rendah. Tapi permintaan tetap ada kerana masih ramai yang mahu berumah di kawasan bukit. Barangkali kerana mempercayai fengsui, termasuk sebilangan Melayu. Atau kerana mempunyai persepsi bahawa rumah di atas bukit akan menjadikan mereka lebih elit daripada orang lain. Atau semata-mata sukakan udaranya yang lebih segar dan pemandangan sekitar yang menarik.

Jika begitu, janganlah lekas menuding jari kepada orang lain apabila berlaku musibah. Masakan tidak tahu risikonya.

Kesimpulannya, kalau takut tanah runtuh, janganlah berumah di kawasan bukit. Jika tiada pembeli, tiada pemaju yang akan membina rumah di kawasan bukit.

SI KELDAI

Tuesday, December 9, 2008

Syabas RTM !




CUBIT-CUBIT
8 Disember 2008

IZINKAN Si Keldai sesekali menepuk belakang, bukannya asyik mencubit. Kalau sepanjang masa mencubit, banyak orang menyampah.

Syabas kepada RTM kerana berjaya membuat liputan peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dengan baik, malah lebih baik daripada stesen-stesen TV lain.

Dulu, RTM sentiasa di belakang stesen-stesen TV lain dalam laporannya terutama mengenai isu dan peristiwa semasa.

Kali ini Si Keldai nampak sebuah stesen yang dulu jauh lebih ke depan daripada RTM, kini sangat mengecewakan penonton.

Kalau tak silap, RTM lebih dulu daripada yang lain dalam membawa laporan pertama kepada penonton. Dan kemudian sentiasa ada laporan terbaru dalam siaran berita setiap sejam.

Unit Bencana RTM, yang menurut Menteri Penerangan Shabery Cheek akan dilancarkan secara rasmi pada 1 Januari 2009, telah berjaya menjalankan tugas lebih awal daripada yang dijadualkan. Syabas!

Sebaliknya, sebuah stesen yang dulunya menjadi ikutan ramai, kali ini sungguh menghampakan. Bayangkan ketika membuat lintas lansung dari studio ke tempat kejadian, pelapor yang bertugas di kawasan Bukit Antarabangsa tidak bercakap sepatah pun selama kira-kira seminit. TV berkenaan hanya mampu menyiarkan wajah pelapor berkenaan (wanita) berdiri tercegat dan membisu di depan mikrofon yang dipegangnya.

Tentulah kegagalan itu berlaku kerana pelapor berkenaan tidak mendapat isyarat supaya bercakap. Bagaimana ini boleh berlaku? Barangkali peralatan stesen TV berkenaan sudah lapuk, atau penerbitnya tidak buat kerja dengan betul.

Apa pun, tahniah kepada RTM yang sekian lama dianggap ketinggalan. Anda boleh bangkit daripada tidur jika ada kemahuan dan kesungguhan. Teruskan kerja baik ini dengan persiapan dan perancangan yang betul. Yang lebih penting, mesti ada iltizam di semua pihak yang berkaitan di RTM dan Kementerian Penerangan.

SI KELDAI

Thursday, December 4, 2008

Cadangan Mukriz amat wajar

CUBIT-CUBIT
4 Disember 2008

UTUSAN Malaysia hari ini menyiarkan reaksi Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Presiden Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaysia terhadap syor Mukhriz Tun Mahathir supaya kerajaan mewujudkan hanya satu sistem pendidikan yang berteraskan semangat kebangsaan. Tajuk laporan itu Bukan Melayu tolak.

Jika cadangan Mukhriz itu dilaksanakan, maknanya akan tiada lagi sekolah aliran Cina dan Tamil. Sudah tentulah kalangan yang Utusan Malaysia tanya itu menyuarakan bantahan keras. Tidak ditanya pun kita boleh tahu isi hati mereka. Yang peliknya, mereka yang ditanya itu menganggap kenyataan Mukhriz berbaur perkauman.

Eh...eh...Siapa yang perkauman? Mereka atau Mukhriz.

Si Keldai berharap Utusan Malaysia akan bertanya kepada badan-badan perguruan dan pelajar Melayu pula. Sudah pasti mereka akan menyokong Mukhriz, walaupun Timbalan Perdana Menteri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa kerajaan tidak akan menerima cadangan Mukhriz itu.

Jika Najib menyatakan bahawa kerajaan sedia mengkaji cadangan tersebut, tentulah melenting parti-parti komponen BN terutama MCA dan MIC. Apatah lagi Timbalan Presiden MCA, jaguh video Dr. Chua Soi Lek baru sahaja menghentam Ketuanan UMNO.

Tapi pendirian Najib itu tidak seharusnya menyekat NGO-NGO Melayu daripada menyuarakan sokongan kepada Mukhriz. Cadangan ini jelas bertujuan untuk mengurangkan masalah polarisasi kaum yang semakin menebal sekarang. Anak-anak Melayu bersekolah kebangsaan, anak-anak Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan anak-anak India di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Sampai bila?

Dan Si Keldai berharap Utusan Malaysia menyiarkan pula komen-komen menyokong cadangan Mukhriz sebagai berita utama di muka depan. Jika tidak disiarkan, maka Utusan Malaysia tidak berlaku adil.

SI KELDAI

Tuesday, December 2, 2008

Tidak wajar Mohd Asri serang mufti-mufti lain

CUBIT-CUBIT
2 Disember 2008

DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN dalam tulisan terakhirnya di ruangan Pena Mufti, Mingguan Malaysia pada 30 Ahad 2008 antara lain mencatatkan:

``Bahkan rakan-rakan sejawatan beberapa negeri menghalang saya berceramah di negeri mereka. Selangor umpamanya membenar semua mufti berceramah, kecuali Mufti Perlis. Jakim pula tidak akan melantik saya dalam panel fatwa, walaupun mufti lain dilantik. Saya menerima itulah realiti perjuangan dengan senyuman dan tidak berkecil hati.''

Mohd Asri seorang mufti muda yang mencetuskan banyak kontroversi kerana pandangannya yang kadang kala amat berani untuk berbeza daripada orang-orang lain. Apakah semata-mata kerana itu beliau dihalang berceramah di negeri-negeri lain? Atau adakah beliau bermaksud mufti-mufti lain tidak menyenanginya, tanpa beliau mengetahui sebab-sebabnya. Tidak mungkin beliau tidak disenangi kerana beliau terlalu lebih muda daripada mufti-mufti lain.

Jika mufti-mufti lain diberi peluang, juga tidak mungkin mereka akan berkata sesuatu yang boleh memburukkan peribadi Mohd Asri. Itu bukan sifat mufti, orang yang dilantik ke jawatan itu atas pandangan orang lain bahawa mereka lebih beriman, berilmu dan berakhlak.

Ekoran dakwaan Mohd Asri dalam Mingguan Malaysia itu, maka apa yang berlaku ialah kalangan yang meminati beliau dan selalu mengikuti ceramah dan tulisannya, akan menyimpan pandangan negatif terhadap mufti-mufti lain dan Jakim. Ini tidak adil. Mohd Asri telah menggunakan Mingguan Malaysia yang merupakan akhbar paling tinggi jumlah pembacanya di Malaysia untuk menyerang mufti-mufti lain dan Jakim, sedangkan mereka tidak berpeluang untuk memberikan jawapan dan penjelasan disebabkan pendedahan tersebut bersifat sangat umum.

Dan kesempatan untuk menyerang `rakan-rakan sejawatan' itu dibuat dalam tulisannya yang terakhir dan pada hari terakhir sebagai Mufti Perlis, sebelum bertolak ke United Kingdom bagi cuti sabatikal (menyambung pelajaran).

Pada hemat Si Keldai, apa yang Mohd Asri bangkitkan ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya datang daripada seorang mufti atau bekas mufti. Sebagai seorang Hamba Allah, walau sebanyak mana ilmu dan pandainya diri kita, pasti ada kekurangan dan kelemahan. Lazimnya manusia tidak nampak kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Apatah lagi jika seseorang biasa menerima banyak pujian. Akhirnya kita akan berasa hanya diri kita yang betul.

Berwaspadalah wahai manusia kerana yang berhak menerima segala pujian ialah Allah. Jika dipuji, kembalikan pujian itu kepada Allah. Jika tidak, akhirnya kita akan dirosakkan oleh pujian-pujian yang diterima.

Manusia juga tidak boleh dipandang terlalu tinggi hanya kerana percakapannya. Lihatlah juga kepada perbuatannya. Jika boleh, lihatlah juga apa yang tersembunyi di hatinya. Tetapi yang boleh melihat segala yang zahir dan tersembunyi hanyalah Allah.

Dan renungilah pengajaran di sebalik cerita Nabi Musa diperintahkanlah oleh Allah supaya belajar dari Nabi Khidir. Kisah ini diceritakan dengan panjang lebar dalam Quran. (18 Al- Kahfi: Ayat 60 hingga 82). Betapa seorang nabi besar yang kepadanya diturunkan kitab Taurat, masih perlu belajar kepada seorang lain.

Pengajaran daripada kisah Nabi Musa itu ialah yang tahu segalanya adalah Allah s.w.t. Kita manusia hanya memiliki sedikit ilmu yang dikurniakan atas sifat Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Maka jika mempunyai sedikit ilmu, janganlah terlalu lekas berasa diri sangat pandai daripada orang lain. Segalanya adalah daripada Allah.

Selamat menyambung pelajaran di United Kingdom Dr. Mohd Asri. Jangan lupa peringatan Rasulullah s.a.w. bahawa mulanya agama dengan mengenal Allah. Hanya dengan mengenal Allah, manusia akan bersifat tawaduk atau merendah diri.

SI KELDAI

Monday, November 24, 2008

Sisters In Islam atau Sisters Anti-Islam?

CUBIT-CUBIT
24 November 2008

APA hal bising-bising fasal fatwa yang mengharamkan yoga bagi umat Islam. Fatwa sudah dikeluarkan setelah Majlis Fatwa Kebangsaan mengambil masa yang panjang untuk mengkaji sama ada amalan yoga itu haram atau halal bagi umat Islam. Tidak mungkin fatwa itu akan ditarik balik, sekalipun banyak NGO yang menggunakan nama Islam membantah. Apatah lagi jika yang membantah itu NGO bukan Islam.

Antara yang lantang ialah Sisters In Islam (SII), sebuah NGO wanita yang kononnya mewakili wanita Islam atau Muslimin. Ada-ada sahaja yang SII bantah. Dulu ia membantah fasal poligami, seolah-olah menuntut amalan itu diharamkan. Andainya SII layak memberikan fatwa, pasti sudah banyak benda yang haram dihalalkan dan yang halal diharamkan.

(Lihat komen Sisters In Islam dalam Utusan Malaysia )

Maaf cakap. Ada satu hadis yang menyebut bahawa ramai penghuni neraka adalah wanita. Agaknya suka membantah hukum-hakam adalah salah satu sebab ramai wanita terjerumus ke dalam neraka, selain tidak taat kepada suami.

Dalam soal fatwa mengenai yoga ini, apa perlu SIS bising-bising. Ikut sahajalah. Janganlah berhujah dari segi logik tentang kebaikan senaman yoga.

Majlis Fatwa Kebangsaan pun telah menjelaskan bahawa bab senaman fizikal yoga adalah tidak bercanggah dengan ajaran agama. Yang majlis itu khuatir ialah apabila pengamal-pengamal yoga cuba meningkatkan amalan mereka dengan mencuba bab-bab yang melibatkan unsur-unsur rohaniah agama Hindu, termasuk mencari kedamaian melalui mantra dan meditasi untuk mencapai kesatuan dengan Tuhan. Apa yang ditakuti ialah kemungkinan pengamal-pengamal yoga dari kalangan penganut agama Islam ini merosakkan akidah tanpa sedar apabila mereka mengamalkan senaman budaya Hindu secara sistematik ke peringkat yang lebih tinggi.

Persoalannya, adakah tanpa yoga ahli-ahli SII tidak mempunyai cara lain untuk menyihatkan tubuh badan dan akal fikiran? Setahu Si Keldai ada banyak bentuk senaman yang boleh dilakukan tanpa sebarang unsur yang melibatkan akidah. Malah orang-orang Melayu sendiri mempunyai amalan senaman tradisi yang wujud lebih lama daripada senaman aerobik yang diperkenalkan oleh Barat. Tanyalah orang-orang tua yang panjang umur. Pasti mereka mengamalankan senaman yang diwarisi daripada nenek-moyang dahulu. Orang Cina pula mewarisi senaman taici yang tidak melibatkan unsur-unsur kerohanian.

Jika ahli-ahli SII masih mahu meneruskan amalan yoga, tepuklah dada dan tanya selera. Nah...berapa ramai yang mengaku Islam berzina dan minum arak, walaupun mereka tahu perbuatan itu adalah dosa besar.

Ini adalah soal iman. Apa yang Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan adalah satu panduan setelah melihat semakin ramai umat Islam, khususnya wanita terlibat dalam amalan ini. Jika fatwa tidak dikeluarkan, mungkin lebih ramai lagi yang akan menyertai kelas-kelas yoga. Sekiranya SII menganggap amalan yoga itu tidak bertentangan dengan kesucian agama Islam, teruskanlah beryoga.

Tapi ingatlah betapa ketika Rasulullah s.a.w menyampaikan larangan meminum arak dulu, ada sahabat-sahabat yang sedang minum arak terus mencampakkan gelas minuman. Dan mereka tidak lagi mengulangi amalan jahiliah itu sampai mati. Mereka lakukannya tanpa soal atas dasar keimanan.

Maka apa perlunya SII dan lain-lain NGO yang dianggotai orang Islam mempertikai fatwa mengenai yoga ? Nampak sangat mereka tidak memahami erti iman dan beriman. Orang yang beriman bukan sahaja tidak akan melakukan perkara yang sah haram, malah akan menjauhi perkara-perkara yang hanya berunsur was-was dan syak wasangka.

Perbuatan SII hanyalah memburukkan imej Islam di kaca mata bukan Islam. Maka jika SII membantah, tentulah NGO-NGO bukan Islam akan teransang untuk membantah 10 kali lebih hebat.

Jika SII mahu terus membantah, pakailah saja nama baru Sisters Anti-Islam.

SI KELDAI

Friday, November 21, 2008

Pak Lah tak boleh ubah pendirian Rafidah

CUBIT-CUBIT
21 November 2008

TIADA lagi ruang rundingan dan tolak ansur. Sahlah bahawa Rafidah Aziz akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO dan Shahrizat Abdul Jalil akan menentangnya satu lawan satu pada Perhimpunan Agung Mac 2009.


Sebaik-baik sahaja Shahrizat mengumumkan keputusan untuk bertanding semalam, Rafidah terus mengumumkan pendirian tegasnya pada hari ini.

Keris sudah dihunus, tidak mungkin dimasukkan semula ke dalam sarung selagi belum bertikam. Rafidah mendapat 113 pencalonan dan Shahrizat 73. Namun angka ini tidak membayangkan sokongan sebenar terhadap Shahrizat disebabkan banyak bahagian yang membuat pencalonan kepada Rafidah dengan andaian bahawa pelan peralihan kuasa dalam pergerakan itu akan berjalan sebagai yang diumumkan, iaitu pada Jun 2009.

Tidak disangka, air yang pada awalnya kelihatan tenang dalam Wanita UMNO, rupa-rupanya berputar kencang di dasarnya. Kini putaran itu meledak sebagai pertandingan yang paling sengit dalam UMNO menjelang perhimpunan akan datang, lebih sengit daripada pertarungan merebut jawatan penting dalam UMNO induk, Pemuda dan Puteri.

Nampak gayanya tiada siapa lagi yang boleh menasihatkan Rafidah dan Shahrizat supaya berkompromi. Pak Lah yang berjanji akan menemui mereka apabila pulang daripada lawatan ke luar negara juga dilihat tidak mampu untuk mempengaruhi pendirian mereka. Silap gaya, Pak Lah pula yang akan menerima leteran panjang daripada Rafidah dalam pertemuan itu, jika jadi.

Najib pula sudah merestui pertandingan, jika berlaku.

Si Keldai hanya ingin mengucapkan selamat bertanding ! Jangan sampai kalah jadi abu, menang jadi arang, cukuplah!

SI KELDAI

laporan Bernama mengenai pengumuman Rafidah hari ini

Thursday, November 20, 2008

Rafidah punyai hanya satu pilihan

CUBIT-CUBIT
20 November 2008

SHAHRIZAT Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan ketua Wanita UMNO. Syabas! Walaupun lambat sedikit, tidaklah terlalu lewat. Malah ada orang yang berpendapat pengumuman tersebut dibuat kena pada masanya.

Kena pada masanya setelah semakin banyak bahagian Wanita UMNO yang menyuarakan secara terbuka sokongan kepadanya. Kelmarin 10 daripada 13 Ketua Bahagian Wanita UMNO di Pulau Pinang, negeri kelahiran Shahrizat, menyuarakan sokongan kepadanya.

Shahrizat yang mendapat 73 pencalonan berbanding Rafidah Aziz 113, terus mendapat sokongan apabila 22 daripada 24 bahagian di Perak menuntut Rafidah menyegerakan peralihan kuasa pada Mac, bukannya Jun sebagaimana yang ditetapkannya. Di Sabah, empat bahagian yang menyokong Rafidah sebelum ini turut beralih sokongan kepada Shahrizat.

Tunggulah, dalam tempoh beberapa hari ini akan bersuaralah lebih banyak lagi bahagian menyokong Shahrizat.

Nampaknya Rafidah terpaksa mengkaji semula keputusannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO yang dipegangnya lebih 30 tahun. Tiada pilihan kerana sekarang era peralihan. Jika peralihan kuasa pasti berlaku dalam UMNO induk, pergerakan Pemuda dan Puteri, tiada sebab bagi Rafidah untuk melanjutkan `kuasanya.'

Jika beliau menunggu pandangan Pak Lah yang akan menemui beliau, Shahrizat dan Kamilia (calon Naib Ketua Wanita) apabila pulang daripada lawatan ke luar negara, maka Si Keldai percaya nasihat yang sama akan diberikan oleh Presiden UMNO itu. Tidak tahulah jika Rafidah berasa Najib Tun Razak, bakal Presiden UMNO mulai Mac 2009, mahukan beliau terus menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Tidak bijak bagi Najib untuk menempah masalah dengan menyokong Rafidah. Lebih-lebih pun, Najib akan berkata terserahlan kepada mereka untuk membuat keputusan setelah mendapat nasihat Pak Lah.

Percayalah bahawa Pak Lah tidak akan menasihatkan Shahrizat supaya menyetujui pelan peralihan Jun kerana `anak Mami' itu sudah pun membuat keputusan muktamat. Lagi pun Pak Lah ada `soft spot' di hatinya terhadap Shahrizat. Si Keldai percaya besar kemungkinan Shahrizat telah menelefon Pak Lah di luar negara terlebih dulu sebelum mengumumkan keputusannya petang ini.

Sekarang kita tunggu pengumuman Rafidah pula. Sama ada beliau akan bertanding atau melorongkan laluan untuk Shahrizat menang tanpa bertanding.

Dengan melihat kebangkitan sokongan kepada Shahrizat, Si Keldai lebih kuat untuk mempercayai bahawa Rafidah tiada banyak pilihan kecuali berundur secara terhormat. Lebih baik beliau mendapat tepukan gemuruh pada Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009, daripada tersungkur kalah dan berundur seperti anjing bercawat ekor.

Jika beliau berundur secara budiman, beliau akan dikenang sebagai seorang pemimpin Wanita UMNO yang tahu berundur diri apabila tiba masanya. Namanya akan terus harum di hati Wanita UMNO.

Pesanan Si Keldai kepada Rafidah: Insaflah betapa sehebat-hebat Tun Dr. Mahathir pun, beliau tahu masa yang sesuai untuk mengundur diri.

SI KELDAI

Wednesday, November 19, 2008

MB Pas sokong DAP tukar nama jalan di Perak

CUBIT-CUBIT
19 November 2008

BARU-BARU ini heboh fasal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tukar nama Jalan Alor di kawasan Bukit Bintang kepada Jalan Kejora. Semua orang bising kerana nama asal Jalan Alor sudah terkenal. Fasal apa mahu diubah? DBKL tidak boleh memberikan alasan yang boleh diterima akal, maka nama jalan tersebut kembali ke asal -- Jalan Alor.

Sekarang wabak tukar nama jalan sudah merebak ke Perak. Khabarnya DAP yang cukup berkuasa di negeri itu mahu menukar nama beberapa jalan kepada nama orang-orang DAP. Antara nama jalan yang mahu diubah ialah Jalan Selibin kepada Jalan Patto. Siapa Patto? Mendiang adalah bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP yang pernah menjadi ADUN Gopeng, Ahli Parlimen Mengelembu dan Ahli Parlimen Bagan.

Dilaporkan bahawa MB Perak dari Pas, Mohammad Nizar yang baru-baru ini bersikap kurang sopan terhadap jurugambar Utusan Malaysia turut menyokong nama Patto diabadikan pada jalan raya di negeri itu. Faham-faham sajalah kenapa beliau menyokong cadangan DAP itu. Beliau hanyalah MB boneka DAP. Barangkali, beliau juga ingin namanya diabadikan pada jalan apabila beliau tiada lagi di dunia ini suatu hari nanti.

Yang menjadi isu sekarang, kenapa Jalan Selibin yang dipilih untuk ditukar nama kepada Jalan Patto? Jika diambil logik kontroversi Jalan Alor, maka apakah wajar nama Jalan Selibin yang cukup popular itu diubah kepada Jalan Patto.

Adalah munasabah jika nama asal itu berbau penjajah atau nama yang kurang enak didengar. Jika tiada alasan yang lebih wajar, janganlah tukar nama jalan itu jika setakat mahu mengenang Patto. Jika hendak sangat, sila abadikan nama Patto pada jalan baru. Tentulah dalam tempoh setahun dua ini akan ada jalan baru yang dibina di Ipoh. Apa fasal kelam-kabut sangat hendak adakan Jalan Patto? Agaknya kerajaan MB boneka DAP ini tidak yakin dapat memerintah lebih daripada sepenggal.

Maka kesempatan memerintah Perak sekarang ini digunakan sepenuhnya untuk mempromosi dan merakam sejarah DAP melalui pengabadian nama tokoh-tokohnya sebagai nama jalan.

Sebenarnya bukan nama Patto seorang saja yang akan dipamer pada papan tanda jalan. DAP juga mencadangkan sebatang nama jalan di Tapah dinamakan Jalan Ibrahim Singgeh, dan sebatang Jalan Loh Jee Mee. Kononnya DAP mahu nampak adil kepada semua kaum. Jika Patto seorang India, maka Ibrahim Singgeh adalah Melayu dan Loh Jee Mee adalah Cina. Barulah sejajar dengan konsep Malaysian Malaysia.

Tapi siapakah Ibrahim Singgeh dan Loh Jee Mee? Mungkin ramai yang masih ingat nama Patto, orang kuat Lim Kit Siang yang diuar-uarkan sebagai pengasas perjuangan Makkhal Sakti, iaitu slogan politik kaum India yang bererti Kuasa Rakyat. Slogan berbahasa Tamil ini turut dilaungkan oleh Anwar Ibrahim jika beliau melihat ada kelibat kaum India di kalangan mereka yang mendengar ucapannya.

Dan sudah kedengaran cakap-cakap, apakah tiada tokoh Pas di Perak yang layak diabadikan sebagai nama jalan? Jika orang Pas juga mahukan salah seorang tokohnya dijadikan nama jalan, bagaimana pula dengan PKR?

Apake hal ni Yob? Deme pilih kerajaan baru yang hanya tahu mengubah nama jalan. Mana dia projek yang berfaedah untuk orang Melayu? Jangan biarkan Muhammad Nizar terlalu teruk menjadi boneka DAP.

SI KELDAI

Monday, November 17, 2008

JJ , Rais dapat banyak publisiti

CUBIT-CUBIT
17 November 2008

SEMALAM Jamaluddin Jarjis yang lebih dikenali sebagai JJ, mendapat publisiti istimewa Mingguan Malaysia dalam bentuk interviu. Jika interviu itu merupakan permulaan siri khas bagi calon-calon Naib Presiden UMNO, maka JJ mendapat penghormatan sebagai pendahulu. Si Keldai percaya ia bukanlah satu kebetulan. Pasti ada pihak yang mahukan JJ diberi publisiti istimewa.



Dan setelah agak lama mendiamkan diri selepas tidak lagi menjadi menteri, JJ sejak sebulan lalu selalu sahaja mendapat perhatian Utusan Malaysia. Ada-ada sahaja berita mengenainya. Ia bermula dengan JJ dalam ucapan di Dewan Rakyat membela akhbar suara Melayu ini dan menghentam pembangkang kerana melancarkan kempen memboikot Utusan Malaysia.

Lumrah bagi Utusan Malaysia untuk memberikan layanan istimewa kepada seorang yang telah bersuara lantang membelanya, tapi Si Keldai ini yakin ada sesuatu yang lebih daripada itu.

Maka timbul pertanyaan, tidakkah akan timbul iri hati di kalangan lain-lain calon Naib Presiden UMNO? Pada hari yang sama Syed Abdul Hamid Albar juga diinterviu Mingguan Malaysia. Cuma bezanya Syed Hamid tidak bercakap mengenai politik. Beliau bercakap mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri atas kapasiti Menteri Dalam Negeri.


Seorang lagi calon Naib Presiden UMNO yang sering mendapat tempat dalam akhbar berbahasa Melayu ialah Menteri Luar, Rais Yatim. Pada hari ini komennnya mengenai politik Melayu perlu diperkasakan bagi mengelak cemuhan pihak-pihak lain telah menjadi berita utama muka depan Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pada hemat Si Keldai, Rais yang pintar bercakap selalu mendapat publisiti kerana kenyataan dan komennya mempunyai nilai berita. Rais seorang yang sangat berpandangan bebas, malah kadang kala bertentangan dengan pandangan atau pendirian pucuk pimpinan parti. Mungkin ciri ini meletakkannya sebagai tokoh politik Melayu yang mendapat tempat di hati wartawan-wartawan Melayu.
Dari segi pencalonan, Rais menduduki tempat tercorot dalam senarai mereka yang layak bertanding jawatan Naib Presiden UMNO. Barangkali kedudukannya yang istimewa di hati wartawan-wartawan Melayu akan membantu beliau dalam perlumbaan yang akan berakhir di Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009.

Agak menarik, dalam akhbar yang sama Rais dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan sesekali tunduk kepada permainan politik wang bagi memenangi jawatan itu.

``Saya adalah calon paling akhir yang melepasi kelayakan bertanding kerana saya tidak tunduk kepada permainan ini (politik wang) dan itu yang saya rasakan,'' tegas Rais.

Sama ada Rais kalah atau menang tanpa politik wang, ia akan diperhatikan sebagai satu natijah penilaian terhadap politik UMNO secara keseluruhan.

Apa komen lain-lain calon Naib Presiden UMNO?

SI KELDAI

Saturday, November 8, 2008

Shahrizat...jangan tunggu lama-lama



CUBIT-CUBIT
8 November 2008


ADA satu lagu yang liriknya antara lain berbunyi:`` Jangan tunggu lama-lama...nanti diambil orang.''

Maka Si Keldai tujukan lagu ini kepada Shahrizat Abdul Jalil yang sudah mendapat 66 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia, tapi masih membisu sama ada mahu bertanding jawatan itu atau mempertahankan jawatan Naib Ketua.

Khabarnya beliau mahu menunggu mesej yang lebih kuat melalui jumlah pencalonan yang lebih besar apabila sebahagian lagi Mesyuarat Wanita Bahagian berlangsung hujung minggu ini.

Setakat ini Rafidah Aziz mendapat 110 pencalonan. Jika mengambil kira bahawa Rafidah telah mengisytiharkan akan menyerahkan kuasa pimpinan sayap UMNO itu pada Jun tahun depan tapi 66 bahagian masih mahu mencalonkan Shahrizat, maka ia adalah satu mesej yang cukup jelas.

Apa yang Shahrizat tunggu lagi? Jangan tunggu lama-lama kerana seorang lagi tokoh pergerakan itu, Kamalia Ibrahim sudah mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia. Jika Shahrizat mengambil keputusan hanya akan mempertahankan jawatan Naib Ketua, maka bersedialah untuk dicabar oleh Kamalia.

Bagi jawatan Naib Ketua, Shahrizat memperoleh 98 pencalonan berbanding 51 pencalonan untuk Kamalia. Silap hari Kamalia akan menang kerana arus mahukan peralihan pucuk pimpinan dalam UMNO cukup jelas, apatah lagi Najib Tun Razak sudah menang jawatan Presiden tanpa bertanding.

Pencalonan terbanyak kepada Muyiddin Yassin bagi jawatan Timbalan Presiden memberikan isyarat bahawa pada keseluruhannya ahli-ahli UMNO condong untuk memberikan sokongan pemimpin yang berani bersuara selaras dengan angin peralihan yang bertiup kencang.

Jika Shahrizat enggan menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Ketua Wanita, ertinya beliau mengambil langkah yang menyongsang arus. Akhirnya Rafidah akan menang tidak bertanding dan Shahrizat akan terpaksa bertarung dengan Kamalia yang lebih awal lagi telah menunjukkan pendirian yang lebih tegas dan berani.

Rafidah menjanjikan akan menyerahkan jawatan Ketua Wanita kepada Shahrizat yang belum tentu dapat mempertahankan jawatan Naib Ketua. Apa jua alasan yang Rafidah berikan untuk mewajarkan peralihan kuasa pada Jun adalah dangkal kerana Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada Mac. Untuk apa Rafidah memegang kuasa hanya selama tiga bulan sebelum menyerahkan kepada orang lain sebagaimana yang dijanjikannya.

Maka dengarlah nasihat Si Keldai tua ini. Jangan tunggu lama-lama...nanti diambil orang.

SI KELDAI

Thursday, November 6, 2008

Pakatan blog propembangkang sudah berpecah

CUBIT-CUBIT
6 November 2008

TIDAK banyak yang dilaporkan mengenai satu forum di Universiti Malaya baru-baru ini yang membincangkan masa depan media di Malaysia anjuran SSIG, sebuah bahagian di bawah Kementerian Penerangan.


Ahli-ahli panelnya ialah Ahirudin Attan @ Rocky, penulis blog Rocky's Bru; Ketua Pengarang The Star, Wong Chun Wai; Presiden NUJ (Kesatuan Wartawan Malaysia) Norila Daud dan Bob Teoh dari portal berita Sin Chew Daily.

Mauduk perbincangan ialah tiada kebebasan media di Malaysia kerana wujudnya banyak undang-undang yang menyekat kebebasan. Ahli-ahli panel sehati sejiwa menyuarakan perlunya undang-undang berkaitan dihapuskan. Selagi undang-undang ini wujud, apa perlunya ditubuhkan Majlis Media yang kerajaan cadangkan.

Yang menariknya, salah seorang peserta kemudian bertanya: Adakah kebebasan media mempunyai kaitan dengan tadbir urus yang baik (good governance)?

Bob Teoh memberikan jawapan yang pantas dan tepat. Katanya, di Singapura tiada kebebasan media tapi tadbir urusnya adalah yang terbaik. Sebaliknya di India ada kebebasan media, tapi tadbir urus negara itu semua orang tahu adalah tidak baik.

Nah, jawapan Bob Teoh itu boleh dijadikan panduan yang baik untuk menentukan sama ada kebebasan media amat diperlukan di Malaysia. Yang amat ketara, Anwar Ibrahim dan pakatan pembangkangnya sangat perlukan kebebasan media untuk menghentam dan meruntuhkan kerajaan BN.

Jika anda masih belum pasti jawapannya, mungkin Ahirudin @ Rocky boleh membantu dengan jawapannya kepada seorang pemblog bernama Mahaguru yang turut hadir dan bertanya. Soalan Mahaguru yang dilontarkan kepada Rocky lebih kurang bermaksud: perlukah pemblog tidak memihak kepada mana-mana parti dalam menulis hal-hal politik?

Sebelum bertanya Mahaguru menjelaskan bahawa sebelum pilihan raya 8 Mac lalu, beliau adalah penyokong PKR. Sekarang bagaimana? Beliau tidak menjelaskan tapi di hati kecil Si Keldai berkata, barangkali Mahaguru tidak lagi dengan PKR.

Selayang fikir, pertanyaan Mahaguru itu bunyinya terlalu bahlul. Dua kali fikir, barulah Si Keldai dapat menangkap maksudnya. Rupa-rupanya beliau ingin kepastian sama ada pendirian Rocky juga sudah berubah.

Rocky menjawab, sebelum dan semasa kempen PRU 12 itu, kesemua kira-kira 60 orang pemblog yang bergabung di bawah pakatan Bloggers United yang diketuainya adalah propembangkang. Beliau mengakui keadaan sekarang sudah berubah.

Lalu Rocky menyimpulkan bahawa pada idealnya memang elok molok tidak memihak, tetapi jika mahu memihak terpulanglah kepada diri masing-masing. Tepuk dada dan tanya selera.

Bagi Si Keldai kata-kata Rocky itu adalah satu jawapan yang jujur. Bloggers United yang boleh diterjemahkan sebagai Pemblog Bersatu, sekarang sudah berpecah haluan. Ada yang masih sokong pembangkang, tapi ada juga yang sokong parti-parti BN.

Rocky berada di mana? Jika anda tidak dapat meneka jawapannya, lebih baiklah anda jadi keldai.

Khabarnya Rocky juga sedang merancang untuk membina satu portal berita. Ala Malaysiakini, Malaysia Today, Agenda Daily atau Malaysian Insider? Oleh kerana kerja ini memerlukan modal, juga ingin ditanya siapa rakan kongsi Rocky?

SI KELDAI

Monday, November 3, 2008

Kemenangan Hamilton isyarat kejayaan Obama?

CUBIT-CUBIT
3 November 2008

IZINKAN Si Keldai ini beralih angin dari dalam negara ke perkembangan di seberang laut.

Jika anda peminat sukan lumba kereta, anda pasti sudah mengetahui bahawa Lewis Hamilton melakar sejarah sebagai pelumba bukan kulit putih yang pertama menjadi juara dunia Formula One.




Hamilton dari Britain dan berdarah kacukan. Walaupun media berbahasa Inggeris merujuknya sebagai `black driver' tapi hakikatnya kulit beliau tidaklah hitam. Warna kulitnya seakan sawo matang.

Kemenangan Hamilton mencatat sejarah bukan sahaja kerana beliau bukan berkulit putih seperti juara-juara sebelumnya, malah beliau adalah juga juara paling muda pada usia 23 tahun.

Dalam masa yang sama dunia juga sedang memerhatikan seorang lagi yang berketurunan kacukan dan berwarna kulit sama dengan Hamilton.


Siapa tidak kenal Barack Obama, calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Democrat yang nasibnya akan diketahui dua hari lagi dalam pelihan raya dengan calon kulit putih dari Republican, John McCain. Ini juga perlawanan antara orang muda dan orang tua. Obama berusia 47 tahun, manakala McCain 72 tahun.

Andainya Obama menang, maka beliau juga akan mencatat sejarah sebagai Presiden AS bukan kulit putih pertama.

Adakah kemenangan Hamilton di litar Brazil boleh dilihat sebagai pembayang kepada apa yang akan berlaku di Amerika? Jika para pengundi di Amerika melihat kemenangan Hamilton sebagai petanda atau isyarat, maka akan tercatatlah dua sejarah dunia dalam tempoh selang beberapa hari sahaja.

Yang ingin diketahui, jika menang, adakah angka majoriti kemenangan Obama kecil atau besar. Hamilton menang tipis apabila beliau berjaya menduduki tempat kelima dalam perlumbaan pagi ini. Jika Hamilton menduduki tempat keenam, gelaran juara dunia 2008 pasti milik pelumba kulit putih Brazil, Felipe Massa yang memenangi perlumbaan di negaranya itu.

Jika berlaku perubahan di litar F1 dan di White House, apakah lagi perubahan yang akan berlaku di dunia ini? Yang pasti umat manusia sejagat akan berhadapan dengan perubahan iklim ekoran pemanasan bumi yang merupakan ancaman nombor satu kepada kesejahteraan dan survival seluruh makhluk di planet biru ini.

Di Malaysia, bagaimana pula?

SI KELDAI

Sunday, November 2, 2008

Berita perkahwinan lebih menyenangkan

CUBIT-CUBIT
2 November 2008

KETIKA pergolakan politik yang tidak menyenangkan masih menjadi sajian akhbar saban hari, berita perkahwinan anak lelaki ADUN Pas Sungai Abong, Johor Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dengan anak perempuan ADUN BN Bukit Bunga, Kelantan Mohd Adhan Kechik amat menyenangkan.



DR. SHEIKH Ibrahim Salleh (kiri) dan isteri, Dr. Salmah Bahari (kanan) serta Mohd. Adhan Kechik (dua dari kiri) bergambar bersama pasangan pengantin iaitu Salleh dan Ernie Muneerah pada majlis perkahwinan anak mereka di Muar, semalam.


Harapan Si Keldai, semoga ia membuka pintu cahaya di zaman kemuraman yang menyelubungi umat Islam akibat suasana politik sekarang.

Kata orang, perkahwinan bukan sekadar ikatan antara dua sejoli, tetapi juga menaut silaturrahim dua keluarga.

Pada 30 Oktober lalu di Pakistan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikahwinkan dengan seorang kanak-kanak perempuan yang baru berusia empat. Polis menyerbu majlis perkahwinan itu kerana undang-undang di Pakistan melarang perkahwinan remaja berusia di bawah 18 tahun.

Adalah jelas kenapa berita perkahwinan itu mendapat liputan hangat seluruh dunia. Namun kata bapa kanak-kanak lelaki itu, mereka dikahwinkan bagi menyelesaikan pertikaian antara dua keluarga.

Tidaklah Si Keldai berharap sangat perkahwinan anak ADUN Pas dan UMNO akan menyelesaikan pertikaian antara dua parti Melayu ini, tapi ia sekurang-kurangnya membayangkan betapa dalam beberapa hal kedua-dua pihak juga boleh mengetepikan perbezaan politik.

Alangkah baiknya jika kedua-dua ADUN itu mengundang pucuk pimpinan parti masing-masing ke majlis yang mulia ini.

Namun begitu, ingin juga dicatatkan bahawa Mingguan Malaysia 2 November 2008 yang menyiarkan gambar dua wakil rakyat itu berdiri sebelah menyebelah bersama pasangan pengantin, turut menyiarkan berita Presiden Pas, Hadi Awang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri Selangor melantik Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Pebadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

SI KELDAI

Friday, October 31, 2008

Rasa-rasanya tiada debat calon Ketua Pemuda

CUBIT-CUBIT
30 Oktober 2008

RAMAI yang menyokong diadakan debat antara calon-calon Ketua Pemuda UMNO, tapi suara-suara yang berpengaruh dalam UMNO mulai tampil menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan yang dibawa oleh Khairy Jamaluddin itu.

Terbaru ialah Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin yang setakat ini mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Beliau tidak setuju.

Sebelum beliau, Ketua Pemuda UMNO sekarang, Hishammuddin Tun Hussein juga tidak bersetuju. Jangan tidak tahu bahawa Hishammuddin juga turut mendapat pencalonan terbanyak bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

Membaca perkembangan ini, Si Keldai berasa kemungkinan besar debat ini tidak akan berlangsung.

Secara peribadi, Si Keldai berpendapat apa yang perlu didebat-debatkan lagi. Masakan para perwakilan Pemuda UMNO tidak mengenali siapa Khairy, atau Mukhriz Mahathir dan Khir Toyo. Setidak-tidaknya Khairy dan Mukhriz sudah sepenggal berada dalam barisan kepimpinan Pemuda UMNO. Khir Toyo sudah lebih lama daripada mereka.

Lagi pun mereka sudah pun memberikan pandangan masing-masing dalam inteviu berasingan dengan Utusan Malaysia tidak lama sebelum mesyuarat bahagian UMNO bermula. Antara lain mereka telah menggariskan apa wawasan dan apa yang mereka mahu corakkan kepada Pemuda UMNO.

Maka Si Keldai ini amat bersetuju dengan pandangan Hishamuddin yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia hari ini.

Walaupun pemilihan jawatan tertinggi UMNO hanya akan berlangsung pada Disember ini, pada ketika ini kita boleh mengambil kira pandangan Muhyiddin dan Hishammuddin sebagai pandangan `pucuk pimpinan' berdasarkan jumlah pencalonan yang mereka peroleh bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Yang ditunggu ialah komen Najib Tun Razak, Timbalan Presiden yang merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang dicalonkan bagi jawatan Presiden setakat ini. Tapi takdirnya beliau enggan memberikan komen, Si Keldai boleh menduga apa pendiriannya.

Sekilas ikan di air, kita boleh tahu jantan betinanya.


SI KELDAI

Tuesday, October 28, 2008

Debat saja tidak cukup untuk menilai calon Ketua Pemuda UMNO

CUBIT-CUBIT
28 Oktober 2008

KHAIRY Jamaluddin yang ketinggalan daripada Mukhriz Mahathir dalam perlumbaan pencalonan jawatan Ketua Pemuda UMNO mencadangkan debat terbuka ala debat calon Presiden Amerika antara beliau, Mukhriz dan Khir Toyo.



Memang bijak otak si lulusan Oxford ini. Pada fikirannya jalan terbaik untuk menghambat Mukhriz ialah dengan mencabar beliau untuk berdebat. Pada fikirannya, beliau boleh meratah Mukhriz dengan mudah jika berdebat. Sebaliknya jika Mukhriz menolak, para penyokong Khairy boleh mencanangkan bahawa Mukhriz seorang pengecut.



Dan memang Mukhriz menolak pelawaan untuk berdebat atas alasan debat itu akan dimanipulasi oleh pembangkang. Ini satu alasan yang pasti akan dimanipulasi lebih awal oleh penyokong Khairy terhadap Mukhriz. Adakah Mukhriz akan menukar pendiriannya atau beliau akan terus enggan dengan memberikan apa jua alasan yang boleh diberikan?


Sebaliknya Khir Toyo telah menyatakan kesediaan. Ini tidak menghairankan kerana beliau berada di belakang Khairy dan Mukhriz dalam perlumbaan ini. Kata orang putih, nothing to lose (tidak akan kehilangan apa-apa).







Orang ramai terutama di kalangan Pemuda UMNO sedang bercakap mengenai debat ini. Maka ingin Si Keldai peringatkan bahawa seseorang pemimpin perlu mempunyai ciri-ciri kepimpinan tertentu yang membezakannya dengan mereka yang dipimpin. Adakah kepetahan berdebat satu ciri yang paling pokok? Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang hebat, tapi adakah Allahyarham seorang yang hebat bercakap dan berdebat? Seseorang yang tidak petah berdebat tidak semestinya seorang yang tidak boleh menjadi perancang dan pelaksana yang baik.

Tidakkah lebih wajar seseorang bakal pemimpin dinilai terlebih dulu dari sudut integriti akhlak, perangai dan sama ada dia terlibat dalam politik wang.

Namun tidaklah Si Keldai mahu sama sekali menentang debat yang dicadangkan. Cuma jangan jadikan ia sebagai faktor utama untuk menentukan sama ada seorang itu layak menjadi pemimpin generasi baru UMNO. Ada lagi faktor-faktor lain yang perlu diambil kira, termasuk soal keimanan kerana mereka bertiga adalah orang Islam.

Bagi Si Keldai, yang lebih penting kerana ia menjadi isu hangat dan tidak kunjung padam ialah sama ada mereka bertiga ini `bersih daripada politik wang.' Maka Si Keldai mencadangkan supaya setiap calon bersumpah bahawa mereka tidak terlibat dalam politik wang terutama semasa persaingan mendapatkan pencalonan.

Pemuda UMNO boleh memilih sesiapa saja menjadi ketua mereka, tetapi soalnya adakah personaliti berkenaan akan diterima oleh rakyat jelata yang akan menjadi pengundi pilihan raya? Adakah personaliti berkenaan akan menjadi aset atau liabiliti kepada UMNO? Ingatlah bahawa senario politik negara sekarang sudah berbeza daripada dulu. Rakyat akan menolak pemimpin yang pada pandangan mereka berlumuran dengan najis politik wang.

SI KELDAI

Thursday, October 23, 2008

Apabila Ali Rustam potong Muhd Taib



CUBIT-CUBIT
23 Oktober 2008


PERLUMBAAN mendapatkan pencalonan jawatan Timbalan Presiden UMNO sudah tamat bagi Muhyiddin Yassin yang telah memperoleh sokongan 46 bahagian. Bolehlah beliau tidur lena. Bangun pagi terus menghitung berapa banyak lagi bahagian yang akan mencalonkannya. Kalau ada rezeki, menang tidak bertanding.

Yang belum sampai ke garisan penamat ialah Mohd Ali Rustam dan Muhammad Muhd Taib.

Bagaimanapun, Ali Rustam `Rukh Khan' yang pada mulanya disangka akan menduduki tempat corot telah memotong `Mike' Muhd Taib. Ali mendapat 13 pencalonan berbanding Muhd Taib 9 sahaja. Jumlah yang perlu mereka capai untuk layak bertanding ialah 39 pencalonan.

Dijangka Ali akan terus meninggalkan Muhd Taib setelah mendapat `sokongan' terbuka Pak Lah.

Pak Lah semasa melenting pada sidang akhbar di Kota Kinabalu baru-baru ini, sambil membidas Dr. Mahathir kerana menyeru ahli-ahli UMNO menolak `orang-orangnya,' turut menyatakan apa salahnya orang seperti Ali Rustam bertanding. Tidak pula beliau menyebut nama Muhd Taib.

Kasihan Muhd Taib yang kini hanya mengharapkan simpati daripada bahagian-bahagian di Selangor. Itu pun jika mereka masih bersimpati dengannya. Silap gaya beliau mungkin gagal memperoleh jumlah pencalonan yang diperlukan. Jika itu berlaku, ia adalah isyarat yang paling jelas bahawa zamannya sudah berlalu, sebagaimana sudah lama berakhirnya zaman kejaguhan petinju heavyweight Mike Tyson.



Sebaliknya Ali masih boleh menaruh harapan. Setelah Pak Lah menyebut namanya, bolehlah beliau mengharapkan sokongan daripada bahagian-bahagian yang masih setia dengan Perdana Menteri itu khususnya di Pulau Pinang. Tapi beliau kenalah bekerja kuat. Penganugerahan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan sedikit sebanyak telah merosakkan imejnya.

Tuesday, October 21, 2008

Shabery patut ubah pendirian



CUBIT-CUBIT
21 Oktober 2008

MENELITI senarai mereka yang mendapat pencalonan bagi Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang akhbar siarkan, mata terhenti lama sedikit pada nama-nama yang boleh dianggap barisan pemimpin pelapis parti itu.

Antara nama yang menambat mata ialah Shabery Cheek, Menteri Penerangan yang dikenali ramai sebagai orang yang berani berdebat terbuka dengan Anwar Ibrahim mengenai isu kenaikan harga minyak.

Shabery setakat ini memperoleh 20 pencalonan dan menduduki tangga ke-31. Kalau Si Keldai tak silap, Shabery adalah orang yang paling awal dan satu-satunya yang mengumumkan secara terbuka tidak akan bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan jawatan tertinggi UMNO. Pengumumannya itu dilaporkan akhbar dua tiga bulan lalu.

Katanya, beliau mahu memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai menteri. Itu yang tersurat, yang tersirat tidak dapat diselami.

Tok..tok...beliau sudah dapat 20 pencalonan walaupun sudah siang-siang lagi mengisytiharkan tidak mahu bertanding. Kalau beliau menawarkan diri untuk bertanding, tentulah dapat lebih banyak pencalonan.

Ini menunjukkan bahawa ramai kalangan ahli-ahli UMNO yang mahukan Shabery bertanding. Barangkali disebabkan pengumuman tersebut, sebilangan mereka mengambil pendirian untuk tidak mencalonkannya.

Pada pandangan Si Keldai yang sudah beruban ini, Shabery patut bertanding dan layak menduduki kerusi MT UMNO. Tanpa mengambil kira kesanggupannya mencabar Anwar Ibrahim, sebenarnya beliau adalah salah seorang pemimpin pelapis yang berkebolehan dari segi kepimpinan. Seorang pemidato yang baik, pandangan dan buah fikiran yang dilontarkannya juga sering bernas dan mudah menjolok orang lain untuk berfikir.

Dan jika mendapat cukup pencalonan, patut sangat Shabery mengubah keputusannya untuk bertanding. Orang-orang muda yang berkebolehan seperti beliau boleh memberikan nafas baru kepada UMNO yang sedang melalui zaman peralihan sekarang.

Sayang seribu kali sayang jika Shabery melepaskan peluang. Peluang lazimnya bergolek hanya sekali. Jika datang lagi ia tidak akan bergolek. Dan lazimnya juga, orang-orang lain tidak akan menghargai lagi orang yang tidak menghargai peluang.

SI KELDAI

Kisah sayur kangkung MCA dan Hang Tuah

CUBIT-CUBIT
20 Oktober 2008

PASANGAN pucuk pimpinan baru MCA, Ong Tee Kat dan Chua Soi Lek dijenakakan sebagai `kangkung' kerana nama mereka. Dalam bahasa Mandarin Ong disebut `weng' dan Chua pula chai'. Dalam bahasa Mandarin sayur kangkung disebut `weng chai.' Maka mesyurat agung MCA yang terbaru dipenuhi dengan kiasan-kiasan mengenai sayur kangkung.



Ong dalam ucapan selepas diumumkan sebagai Presiden MCA yang baru dengan mengalahkan Chua Jui Meng berkata, kesedapan sayur kangkung bergantung kepada tukang masak. Baginya tukang masak sayur kankung dalam MCA ialah jawatankuasa pusat.

Chua pula menyatakan masakan sayur kangkung sangat sedap jika dimasak tanpa terlebih belancan. Tidak pula beliau jelaskan maksud `belacan' itu. Tapi beliau menekankan pentingnya kerjasama erat di peringkat pucuk pimpinan bagi menjamin MCA menjadi parti yang kuat.

Sama-samalah kita tunggu untuk melihat sama ada pucuk pimpinan `kangkung' akan membawa MCA ke tahap yang lebih kuat dan berjaya, khususnya dalam kerangka muafakat Barisan Nasional .

Tetapi di kalangan orang Cina sendiri, ramai yang berpendapat gandingan Ong dan Chua sangat janggal. Ong yang berusia lebih muda adalah dari barisan pimpinan pelapis, manakala Chua boleh dianggap ahli politik veteran yang cukup mahir dalam sepak terajang politik. Betapa seorang yang telah jatuh kerana skendal video seks boleh bangkit semula dalam parti, menggambarkan kekuatan politiknya. Malah ada yang berpendapat Soi Lek boleh menang jika beliau yang bertanding jawatan Presiden MCA, bukan Chua Jui Meng.

Selama mana Soi Lek akan sentiasa berperanan sebagai orang nombor dua, juga menjadi pertanyaan.

Juga ditanya apakah bentuk hubungan dengan UMNO yang akan dibawa oleh pucuk pimpinan `kankung' ini. Berdasarkan cakap-cakap mereka sebelum ini, MCA akan menuntut UMNO supaya memasang telinga kepada suara parti itu. Dan dua pemimpin kangkung itu pasti akan bersuara lebih nyaring untuk kepentingan kaum mereka.

Cuma Si Keldai ingin mengingatkan bahawa di kalangan orang Melayu, sayur kangkung juga mempunyai sejarahnya.

Sejarah kangkung tercatat semasa Laksamana Hang Tuah dihantar oleh Sultan Melaka untuk menghadap Maharaja China selepas kedatangan Laksama Zheng He (Cheng Ho) ke Melaka pada abad ke-15.

Si Keldai yang sudah tumpul ingatan ini kurang pasti sama ada peristiwa itu dicatat dalam Hikayat Hang TuahSejarah Melayu.

Lebih kurang begini ceritanya. Setibanya Hang Tuah di istana Maharaja China, bentara istana telah bertanya apakah makanan kegemarannya yang patut dihidangkan semasa santapan diraja dengan maharaja.

Kata Hang Tuah, beliau suka makan sayur kankung. Si bentara diperingatkan supaya kankung itu tidak dipotong, dibiarkan panjang.

Maka dihidangkan kepada Hang Tuah sayur kankung goreng yang tidak dipotong semasa santap di hadapan Maharaja China. Oleh kerana sayur itu berjela panjang, maka Hang Tuah menyuap dengan mendongakkan kepalanya. Sambil itu beliau mengambil kesempatan menjeling untuk melihat wajah Maharaja China yang duduk di atas tempat yuang lebih tinggi.

Menjadi larangan kepada rakyat China ketika itu untuk memandang wajah maharaja mereka. Sesiapa yang sengaja memandang wajah maharaja dikenakan hukum pancung. Malah bentara-bentara istana dan gundik-gundik pun menunduk kepala ketika berhadapan dengan maharaja. Tidak pula diceritakan bagaimana keadaan gundik semasa....dengan maharaja.

Apa pun, Hang Tuah adalah orang yang pertama dapat melihat wajah Maharaja China tanpa dihukum pancung kerana `terpaksa' mendongakkan kepala untuk menyuap dan menelan sayur kangkung yang panjang di hadapan baginda.

Sebenarnya taktik makan sayur kangkung tanpa dipotong itu sengaja dirancang oleh Hang Tuah untuk melihat wajah Maharaja China.

Terpulanglah kepada Tee Keat dan Soi Lek untuk menafsirkan moral kisah ini.

SI KELDAI

Thursday, October 16, 2008

Nasihat kepada `Cik' Tan

CUBIT-CUBIT
16 Oktober 2008

KETUA Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila beliau membangkitkan soal keturunan rakyat Malaysia. Antara lain, katanya orang Melayu berasal dari kepulauan Nusantara, sama seperti kaum Cina dari China dan kaum India dari India.


Dulu, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau juga mencetuskan ribut kecil apabila menyatakan ramai ahli Gerakan mahukan parti itu keluar daripada Barisan Nasional. Kononnya kenyataan beliau turut mempengaruhi para pengundi Cina untuk memangkah Anwar Ibrahim.

Apa fasal `Cik' Tan gemar mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan padah buruknya. Pada pandangan Si Keldai, ada sesuatu yang kurang lengkap pada diri `Cik' Tan. Kekurangan ini kadang kala boleh menyebabkan seseorang, tidak kira wanita atau lelaki, boleh naik angin tidak tentu fasal.

Kekurangan ini boleh diatasi jika seseorang menjalani kehidupan normal melalui perkahwinan. Ya...`Cik' Tan masih membujang. Jika `Cik' Tan sudah kahwin, akan selesailah masalah naik angin tidak tentu fasal ini. Jika beliau tidak percaya, bolehlah minta pandangan lanjut daripada ramai pemimpin-pemimpin wanita dalam UMNO yang hidup bahagia sebagai isteri serta dapat menjalankan tugas sebagai ketua wanita tanpa naik angin tidak tentu fasal.

Berkahwin adalah satu fitrah, atau kata orang putih nature. Tuhan yang menciptakan kita menuntut manusia berkahwin, bukan sahaja untuk menyambung zuriat, tapi juga untuk ketenteraman hidup. Untuk pengetahuan `Cik' Tan, Perdana Menteri wanita pertama India, Puan Indira Ghandi pernah berpesan kepada anak-anak buahnya dalam bahasa Inggeris yang berbunyi:`` Don't go against nature because if you go against nature, you go against God.''

Kata-kata hikmat Puan Indira itu diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia berbunyi:``Jangan menentang fitrah kerana jika anda melakukannya, bererti anda melawan Tuhan.''

Dan Puan Indira, sebagaimana ramai pemimpin wanita dunia yang terkenal termasuk Puan Margaret Thatcher, juga berkahwin dan mempunyai anak.

Maka inginlah Si Keldai jantan ini menasihatkan `Cik' Tan supaya mencontohi Puan Indira dan Puan Thatcher.

Nasihat ini juga ditujukan kepada `Cik' Chew Mei Fun, Ketua Wanita MCA yang baru dan `Cik' Azalina Othman yang bercita-cita untuk menjadi Ketua Wanita UMNO Malaysia.



Malaysia lebih bahagia jika para pemimpin wanitanya tiada masalah `angin naik ke kepala.' - SI KELDAI

Wednesday, October 15, 2008

Calon Ketua Pemuda UMNO tabur RM4 juta?

CUBIT-CUBIT
15 Oktober 2008

KHABARNYA politik wang berlaku dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO sekarang.

Seorang ketua pemuda cawangan di sebuah bahagian di Selangor memberitahu Si Keldai yang lebar telinga ini, dia mendapat RM500 untuk dibahagi-bahagikan kepada lima perwakilan pemuda cawangan yang akan menentukan siapa yang layak dicalonkan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam mesyuarat bahagian yang akan berlangsung.

Duit tersebut dihulurkan kepadanya oleh ketua pemuda bahagian dengan pesanan pilihlah `si polan.'

Maka Si Keldai ini yang kurang pandai mengira pun meminta bantuan teman yang dapat Matematik A dalam peperiksaan SPM. Si teman yang pandai mengira pun mencongak. Jika satu cawangan dapat RM500, andainya di bahagian berkenaan ada 40 cawangan, maka jumlah duit yang dibayar kepada bahagian ialah RM500 X 40 = RM20,000.

Bagaimana pula jumlah wang `sedekah' yang dihulurkan ke semua 191 bahagian. Jawapannya ialah RM20,000 X 191 = RM3,820,000 atau RM3.82 juta.

Wau...hampir RM4 juta! Itu belum masuk bayaran istimewa untuk ketua pemuda bahagian. Dari mana calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu dapat begitu banyak duit?

Lalu Si Keldai bertanya semula kepada ketua pemuda cawangan itu. Apa yang dia buat dengan duit tersebut? Jawabnya, duit itu disimpan dan belum diusik lagi kerana dia tidak tahu apa hukumnya memakan duit berkenaan.

Di tanya lagi, siapa yang beliau akan calonkan setelah menerima `sedekah' itu? Katanya, dia tidak akan mencalonkan orang yang memberi sedekah, tapi akan memilih calon lain yang lebih bersih dan lebih layak.

Bagus-bagus...duit boleh ambil, tapi jangan beri undi kepada orang berkenaan. Nasihat Si Keldai, kalau ambil duit dan mengundi orang berkenaan, maka hukumnya duit yang diterima itu adalah haram. Kalau undi orang lain, duit itu boleh dipakai kerana si penerima tidak bersubahat dengan kerja rasuah yang dilakukan.

Pesanan Si Keldai kepada semua ahli UMNO yang menjadi perwakilan, jika ada sesiapa memberikan duit, sila terima dengan penuh hati. Tapi jangan sesekali memberikan undi untuknya. Jika anda memberikan undi untuknya, maka anda turut menyokong rasuah. Yang terbaik, tolak sahaja orang berkenaan ke dalam `lubang kubur politik' supaya dia terus mati dan tidak bangkit-bangkit lagi. Jika anda melaporkan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO lagi baik. Malah kepada BPR tersangat baik.

Sebabnya, jika orang yang menabur duit RM4 juta ini menang dan berkuasa, dia pasti akan berusaha mendapatkan semula jumlah RM4 juta yang telah `dilaburkan,' malah akan cuba mendapatkan kadar faedah dan keuntungannya sekali. Barangkali angkanya akan mencapai RM40 juta. Dan anda hanya dapat sedikit sahaja duit haram yang tidak boleh menjadi darah daging diri dan anak isteri.

Jika pembaca tertanya-tanya siapakah penabur duit yang begitu banyak, silalah risik-risik daripada kenalan anda yang menjadi ketua pemuda cawangan. Anda tidak akan terkejut dengan nama yang dibisikkan. - SI KELDAI

Tidak rasmi Zaid Ibrahim orang PKR

CUBIT-CUBIT
14 Oktober 2008




ZAID IBRAHIM kelihatan cukup intim dengan Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang. Barangkali hanya menunggu pengumuman rasmi sahaja untuk memakai baju PKR.


Secara tidak rasmi beliau telah menzahirkan hasratnya dengan menghadiri Rumah Terbuka AidilFitri PKR di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru baru-baru ini. Kalau jiwa dan raganya masih bersama UMNO, sudah tentu beliau tidak ada di majlis itu.

Andainya rasmi Zaid masuk PKR, maka beliau pasti telah dijanjikan jawatan penting. Agaknya Anwar Ibrahim yang terus berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri telah menawarkan jawatan Menteri Undang-Undang kepada Zahid dalam kabinet angan-angannya.

Dan sekiranya Zaid jadi orang PKR, maka parti ini bolehlah diberi jolokan Parti Anak-Anak Ibrahim (PAI). Ada Anwar bin Ibrahim...Khalid bin Ibrahim yang sekarang berjawatan MB Selangor...dan Zaid Ibrahim. Apa komen Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Kelantan, Ibrahim Ali terhadap perilaku Zaid yang senegeri dengannya?

Khabarnya Ibrahim Ali yang tidak minat menyertai pembangkang sedang menunggu pelawaan menyertai semula UMNO. - SI KELDAI

Zaid Ibrahim vs `Mahathirism'

CUBIT-CUBIT
13 Oktober 2008

KATA Zaid Ibrahim, jika Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, beliau akan meneruskan dasar `Mahathirism' dan tidak banyak membawa pembaharuan.

Berita itu disiarkan oleh The Star, akhbar yang mendukung kuat perjuangan bekas menteri undang-undang de facto yang lebih menguntungkan pakatan pembangkang selama ini.

Apa tujuan Zaid membuat komen tersebut? Apa tujuan The Star memberikan ruang kepada orang yang sudah dianggap `melukut di tepi gantang' dalam UMNO itu.

Pada pandangan Si Keldai yang bahlul ini, Zaid ada niat tertentu. Zaid orang Kelantan. Semua orang tahu ada orang Kelantan yang masih membara cita-citanya untuk jadi Presiden UMNO setelah gagal menumbangkan Tun Mahathir Mohammad dulu. Namanya Tengku Razaleigh dan lebih popular dengan gelaran Ku Li.

Ku Li adalah orang yang pertama menawarkan diri bagi bertanding jawatan Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009. Malangnya setelah 28 bahagian UMNO bermesyuarat, Ku Li masih belum mendapat sebarang pencalonan.

Pada hemat Zaid, dengan melontarkan teori `Mahathirism', akan tertanam keraguan terhadap Najib yang setakat ini mendapat pencalonan jawatan Presiden UMNO daripada kesemua bahagian yang telah bermesyuarat.

Jika ahli-ahli UMNO tidak mahu `Mahathirism' maka mereka perlu mencari orang lain yang bebas daripada bayang-bayang Mahathir. Siapa lagi jika bukan Ku Li.

Itulah yang Zaid cuba lontarkan. Nakal juga mu ni Zaid! - SI KELDAI

Datuk kepada Shah Rukh Khan ??

CUBIT-CUBIT
11 Oktober 2008

DIALOG Senyum Kambing di muka satu Utusan Malaysia hari ini agak sinis.

Kambing diberitahu: ``Melaka anugerahkan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan.''

Jawab Kambing: `` Agaknya dia banyak berjasa...''

Eloklah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam jelaskan apakah jasa-jasa bintang Bollywood itu kepada Malaysia, khususnya negeri Melaka. Lagipun Ali Rustam mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO. Manalah tahu kalau-kalau beliau menang dan jadi Timbalan Perdana Menteri nanti, Shah Rukh Khan akan dapat gelaran Tan Sri pula.

Penganugerahan Datuk kepada Shah Rukh Khan bukan sahaja menimbulkan tanda tanya kepada Kambing Utusan Malaysia, tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia.

Memanglah seluruh Malaysia maklum bahawa setiap tahun Melaka akan melambakkan anugerah Datuk kepada sebaris panjang penerima. Sebilangan besar mereka bukan rakyat Melaka dan tidak diketahui apa jasa mereka kepada negeri Hang Tuah ini. Tapi memberikan kepada seorang bintang filem asing adalah satu bahan menggeletek kewarasan kita. Ramai yang bertanya, sudah tiadakah lagi rakyat Malaysia atau orang Melaka yang layak?

Juga ditanya apakah tujuan gelaran tersebut? Adakah Ali Rustam atau Yang Dipertua Negeri Melaka peminat Shah Rukh Khan?

Dan yang tidak kurang menariknya, si Rukh Khan ini tidak datang pun ke istiadat penganugerahan sempena Hari Jadi Ke-70 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob. Jika Rukh Khan menghargai anugerah tersebut tentulah beliau datang segera untuk menerima gelaran Datuk.

Kepada Ali Rustam diucapkan `Selamat bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.'' - SI KELDAI